Pelancaran Pasukan Pemantau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan menggerakkan pasukan Pemantau Pilihan Raya (PEMANTAU) bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-17 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Walaupun BERSIH pada bulan Mac yang lepas menggesa agar Ketua Menteri Sabah DSP Haji Hajiji Haji Noor untuk segera mengumumkan tarikh pembubaran agar memudahkan semua pihak merancang untuk menghadapi PRN terutama bagi pengundi membuang undi, namun nampaknya kepentingan politik parti pemerintah lebih diutamakan daripada kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
Tujuan misi pemantauan pilihan raya adalah untuk memastikan hak pengundi Sabah dihormati dan pilihan raya ini dijalankan dengan bersih, bebas dan adil serta wujudnya padang permainan sama rata untuk semua calon dan parti politik bertanding. Ianya perlu bebas daripada sebarang salah laku pilihan rayavdan pembelian undi bagi menterjemah kehendak sebenar orang Sabah dalam keputusan PRN kelak.
BERSIH ambil maklum dengan siri video yang mendedahkan beberapa pemimpin yang juga merupakan anggota kabinet kerajaan Sabah yang didakwa menerima sogokan. Pendedahan ini mungkin hanya permulaan sahaja bagaimana duit-duit kotor boleh berlegar dan digunakan sebagai dana politik untuk memenangi pilihan raya.
Pasukan PEMANTAU BERSIH kali ini akan mengkhususkan pantauan terhadap kesalahan politik wang atau rasuah yang diberikan sebelum atau semasa pilihan raya berlangsung.
BERSIH menggesa rakyat Sabah menolak 100 peratus unsur-unsur politik wang daripada calon atau parti politik mana sekalipun. Pendekatan umum yang selama ini digunakan seperti duit ambil undi belum tentu wajib ditolak dan ditinggalkan sepenuhnya kerana pendekatan ini hanya menggalakkan parti-parti politik mencari dana politik secara tidak sah untuk dihamburkan kepada rakyat bagi menjadi wakil rakyat.
BERSIH akan menggerakkan 100 orang PEMANTAU untuk memantau di 30 daripada 73 buah DUN di Sabah. DUN yang akan dipilih termasuk DUN di mana wakil rakyat yang melompat berkali-kali, wakil rakyat yang terpalit isu rasuah, kerusi marginal dan juga kawasan Ketua Menteri. Pemantauan akan diadakan secara fizikal dan juga secara dalam talian untuk memantau perjalanan kempen. BERSIH akan menggerakkan siri bengkel pemantau di beberapa daerah dan juga secara dalam talian untuk memberikan pencerahan kepada rakyat Sabah tentang peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam pilihan raya ini selain daripada mengundi pada hari pengundian kelak.
BERSIH juga menggesa semua media terutama saluran media rasmi kerajaan tidak kira Persekutuan mahupun negeri Sabah, memberi siaran udara dan ruang yang sama rata bagi semua calon dan parti bertanding bagi mewujudkan padang pertandingan yang sama rata kepada semua pihak yang bertanding.
BERSIH mengharapkan bantuan dan sokongan orang Sabah untuk memastikan pilihan raya ini dipantau sepenuhnya oleh rakyat. Hanya dengan kuasa rakyat dapat menjamin pilihan raya di negeri di bawah bayu ini dapat berjalan dengan bersih, bebas dan adil. Kita perlu menolak secara total politik wang dan politik kotor di negeri ini.
Laman sesawang PEMANTAU BERSIH boleh dilayari di sini: www.pemantau.org
Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH