Kempen Secara Bersih dan Adil, Tolak Politik Wang
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah menjalankan pemerhatian ke atas keseluruhan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DU) Sabah ke-17. Bagi pilihan raya kali ini, BERSIH menggerakkan seramai 70 orang Pemantau di 23 kawasan Parlimen untuk memastikan proses pilihan raya dipantau secara bebas, objektif dan berintegriti.
Kami mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon yang telah disahkan. BERSIH *mengingatkan* agar sepanjang tempoh kempen ini, semua pihak menjalankan aktiviti mereka dengan penuh tanggungjawab, serta menghormati prinsip demokrasi yang adil dan matang.
BERSIH juga ingin menegaskan bahawa politik wang adalah satu jenayah pilihan raya dan mesti ditolak oleh semua calon serta oleh rakyat. Pemberian wang tunai, barangan, penajaan majlis atau apa-apa bentuk habuan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berhubung rasuah dan beli undi, serta Seksyen 8 yang melibatkan penjamuan dan pemberian hadiah. Amalan politik wang bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi merosakkan asas demokrasi kerana ia menukar pilihan rakyat kepada satu transaksi semata-mata.
Rakyat Sabah perlu menolak politik wang kerana masa depan negeri ini bergantung pada pemilihan pemimpin yang benar-benar berintegriti, berkeupayaan dan mempunyai visi jangka panjang. Apabila politik wang dibiarkan berleluasa, ia membuka ruang kepada pemimpin yang hanya menjaga kepentingan diri, dan mengabaikan dasar-dasar yang mampu membawa kemajuan sebenar kepada rakyat. Sabah memerlukan pemimpin yang hadir bukan kerana habuan yang diberikan, tetapi kerana tanggungjawab dan komitmen untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta membangunkan negeri ini secara mapan.
BERSIH menyeru rakyat Sabah untuk memainkan peranan aktif dalam mempertahankan integriti pilihan raya. Jika terdapat sebarang salah laku termasuk politik wang, ugutan, penyalahgunaan jentera kerajaan atau pelanggaran peraturan pilihan raya, orang ramai digalakkan membuat laporan melalui laman web www.pemantau.org.
Suara dan tindakan rakyat amat penting untuk memastikan proses pilihan raya yang benar-benar bersih, adil dan bermaruah dapat dicapai.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH