BERSIH: SPR tidak membantu membersihkan daftar pemilih tetapi menjadikan ia lebih kotor

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mula memaparkan rang daftar pemilih tambahan bagi suku pertama tahun ini (Q1 2017).

Ini merupakan kali pertama SPR tidak memberi parti politik rang daftar dalam bentuk cakera padat; parti politik juga tidak dapat membelinya, mahupun dalam bentuk cetak.

SPR tidak memberi sebarang alasan bagi keputusannya. Ia hanya berkata adalah memadai bagi pihak yang berminat untuk melihat rang daftar di 960 buah tempat di seluruh negara di mana ia dipamerkan.

BERSIH 2.0 tidak bersetuju dan mempertikaikan kenyataan SPR ini. Kini, parti politik – yang mempunyai kepentingan terbesar dalam proses ini – hanya diberi 10 hari waktu bekerja bermula dari hari ini hingga 22 Mei untuk meneliti kira-kira 500 halaman daftar bagi satu bahagian pilihan raya persekutuan yang mempunyai 1,500 nama secara purata, untuk memastikan bahawa kesemuanya teratur. Dan mereka perlu meneliti draf daftar tambahan bagi kesemua 222 kerusi Parlimen.

SPR mesti menjelaskan mengapa ia tiba-tiba mengambil keputusan untuk berhenti memberi cakera padat percuma bagi rang daftar pemilih tambahan setelah berbuat demikian selama beberapa tahun. Apa perubahan teruk yang telah berlaku dan siapakah yang terjejas akibatnya? Apa yang membimbangkan SPR? Dan mengapakah kini, orang awam pun tidak boleh mendapatkan salinan rang tersebut?

Yang lagi dahsyat adalah bahawa langkah SPR ini bagaikan respons pihak berkuasa kepada pendedahan baru-baru ini oleh pelbagai pihak termasuk BERSIH 2.0, mengenai pemindahan pengundi secara haram dalam rang daftar tambahan Q3 dan Q4 2016. Kami juga telah memberi amaran bahawa jumlah pengundi ragu akan bertambah pada suku tahun yang berikutnya semakin hampir pilihan raya menjelang. Oleh itu, kita telah memberi amaran kepada semua pihak yang berkepentingan, termasuk pengundi biasa, supaya berwaspada terhadap pengundi hantu dan menyemak rang daftar tambahan bagi setiap suku tahunan.

Namun SPR bertindak yang sebaliknya. Ia bukannya membantu untuk mengusir pengundi hantu daripada daftar pemilih tetapi menyukarkan semakan sebegini dan juga melakukan perkara yang bertentangan dengan ‘menyembunyikan’ pengundi ragu daripada dikesan sebelum rang daftar diwartakan untuk pilihan raya umum keempat belas yang akan datang.

BERSIH 2.0 telah melahirkan kemarahan kami terhadap apa yang kami lihat sebagai percubaan sengaja oleh SPR untuk mengurangkan lagi ruang di mana kita dapat membersihkan daftar pemilih.

Kawalan maklumat sebegini yang memihak kepada parti pemerintah menimbulkan soalan – adalah SPR mengikut arahan ‘tuan politik’ mereka?

Jika ini bukan halnya, SPR mengarut pula kerana tidak mengguna pakai teknologi, yang sepatutnya dapat membantunya berfungsi dengan lebih baik!

SPR perlu sedar bahawa tindakan sebegini tidak membantunya “menjadi sebuah institusi pengurusan pilihan raya demokratik yang cemerlang dan mendapat kepercayaan rakyat”, seperti yang dinyatakan sebagai visinya.

Jika SPR terus berdiam diri mengenai perkara ini dan banyak penyelewengan pilihan raya lain, BERSIH 2.0 hanya boleh membuat kesimpulan daripada tindakannya bahawa ia tidak mahu salahlakunya didedahkan dan sebenarnya berusaha untuk menjejaskan keutuhan daftar pemilih! Ini tidak lain satu tindakan sabotaj oleh institusi yang menyatakan misinya sebagai “mendukung sistem demokrasi berparlimen dan menjamin hak rakyat untuk memilih wakil mereka dengan mengurus, mengawal selia dan menjalankan pilihan raya secara bebas dan adil”.

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0