Kenyataan Media daripada BERSIH (9 November 2022): Pelancaran Kempen #UndiMasaDepan (#VoteFuture) Menggalakkan Rakyat Keluar Mengundi
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada hari ini melancarkan kempen #UndiMasaDepan dengan seruan yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia menggunakan hak mereka untuk mengundi dan menentukan masa depan mereka sendiri. Peranan kritikal yang dimainkan oleh Kerajaan untuk membentuk dasar, menggubal undang-undang dan menyampaikan perkhidmatan awam, membentuk masa depan negara ini dan kadangkala untuk generasi akan datang. Kerajaan yang baik memartabatkan negara, kerajaan yang teruk membawa aib dan merompak masa depan anak-anak kita.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kita berdepan beberapa cabaran besar untuk memujuk pengundi untuk keluar mengundi dan sukar mencapai kadar keluar mengundi melebihi 80 peratus seperti yang berlaku pada PRU13 dan PRU14. Dengan pelaksanaan UNDI18 dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA), daftar pemilih menyaksikan peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding PRU14. Jika kesemua mereka yang mengundi pada PRU14 hadir pada 19 November, peratusan keluar mengundi hanya 58 peratus. Kita memerlukan sekurang-kurangnya 2.5 juta pengundi kali pertama untuk mengundi bagi mencapai peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus. Cabaran utama seterusnya kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi ialah PRU15 yang diadakan semasa musim tengkujuh atau UndiBanjir dan kekecewaan umum terhadap politik pasca Langkah Sheraton.
Demokrasi hanya akan bermakna apabila terdapat penyertaan beramai-ramai oleh rakyat dalam proses yang ada, dan proses pilihan raya adalah proses untuk memilih siapakah yang mempunyai mandat untuk memerintah untuk lima tahun akan datang. Walaupun peratusan keluar mengundi yang rendah tetap akan membolehkan sesebuah kerajaan dibentuk secara sah tetapi keabsahannya lemah disebabkan kita tahu bahawa sebahagian besar pengundi tidak memilihnya. Kerajaan sedemikian akan mendapati ia sukar untuk membuat perubahan struktur yang sangat diperlukan kepada institusi, ekonomi, pendidikan, menangani isu penting antara kaum dan membentuk dasar penting untuk menangani perubahan iklim kita, akan tetapi terpaksa bergantung kepada dasar populis jangka pendek dan pemberian yang mungkin memudaratkan dalam jangka masa panjang demi untuk terus berkuasa.
Dengan kempen #UndiMasaDepan, BERSIH mencabar semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia dan pengundi kali pertama supaya tidak membenarkan orang lain menentukan masa depan mereka bahkan menentukan nasib mereka sendiri dengan keluar mengundi. Dengan PPSA, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas boleh hadir untuk mengundi tanpa sebarang pra-pendaftaran. Jika tidak mengambil peluang untuk keluar mengundi pada PRU15, kita mempertaruhkan nasib bahawa kerajaan yang dipilih akan menjadi kerajaan yang kita mahukan dan kita akan gembira dengan masa depan yang akan mereka tentukan untuk kita.
Untuk pelancaran kempen #UndiMasaDepan, kami mengeluarkan sebuah video pendek khas yang membawa mesej daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia. Kami juga akan mengeluarkan setiap hari sehingga Hari Pengundian, siri poster dan video pendek dengan tema masa depan di semua platform media. Kami juga mengajak orang ramai yang bersetuju dengan naratif ini keluar mengundi demi masa depan kita untuk memanjangkan mesej ini dengan meletakkan di akaun media sosial masing-masing dalam bentuk poster, video pendek atau penulisan. Bagi memudahkan perkara ini, kami telah menyediakan kit media dengan fail grafik dan maklumat yang diperlukan di pautan ini – https://bit.ly/KitVoteFuture.
Kami juga bekerjasama dengan pelbagai NGO dan organisasi media yang sesetengahnya membawa logo #UndiMasaDepan kami secara langsung manakala yang lain melengkapkan kempen mereka sendiri dengan memfokuskan pada tema masa depan yang sama. Kami berharap dengan usaha bersepadu daripada kebanyakan kita, kita dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai mengundi pada 19 November ini bagi meraikan demokrasi dan memasakkan tuntutan kita terhadap masa depan Malaysia.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
#VoteFuture
#UndiMasaDepan
#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi