Kenyataan Media BERSIH (8 November 2022): Patuhi Undang-Undang dan Etika Kempen Pilihan Raya Bersih
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kesemua calon-calon pilihan raya agar untuk berkempen secara bersih, bebas dan adil dalam mengambil hati rakyat untuk mengundi mereka. Calon-calon pilihan raya, parti-parti politik, jentera kempen dan semua pihak yang terlibat termasuklah Menteri-Menteri Sementara hendaklah berkempen dengan bersih dan mematuhi undang-undang terutamanya Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Hasil pemantauan BERSIH mendapati banyak parti politik dan calon telah melakukan aktiviti kempen mereka yang boleh dianggap sebagai kesalahan pilihan raya dan tidak menepati piawaian etika kempen pilihan raya yang adil seperti melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan DUN.
Antaranya adalah:
1. Pemberian minyak motor dan tukar minyak hitam percuma
Program pemberian minyak dan tukar minyak hitam motor secara percuma oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan di beberapa kawasan DUN dan Parlimen. Sebagai contoh pada 4 November, Pemuda PH Alor Gajah telah mengadakan program tukar minyak hitam percuma di Taman Vista Belimbing. Penyandang parlimen Pengarang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah mengadakan program yang sama pada 21 Oktober 2022.
Aktiviti ini boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
2. Program subsidi pulang mengundi
DAP Pulau Pinang telah melancarkan program subsidi untuk pulang mengundi. Hasil siasatan pihak kami, mereka telah menutup akses kepada pautan permohonan. Sekiranya DAP Pulau Pinang atau mana-mana parti politik yang mengadakan program yang serupa, mereka boleh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 dan Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
3. Program sambutan perayaan atau karnival
Pihak kami mendapati calon PH Parlimen Klang dan ADN Kota Kemuning, YB Ganabatirau akan mengadakan program Sambutan Perayaan Deepavali DUN Pelabuhan Klang 2022 pada 12 November. Poster program tersebut menyatakan akan ada cabutan bertuah dan sekiranya beliau turut menyediakan makanan di majlis sambutan perayaan itu, beliau boleh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Pihak Perikatan Nasional di Muar juga akan menganjurkan Mini Karnival Anak Muo di PASTI Hadi, Parit Tarom, Muar Johor. Berdasarkan poster di laman Facebook mereka, antara aktiviti karnival tersebut adalah cabutan bertuah, gunting rambut percuma, tukar minyak hitam percuma dan hadiah berupa wang tunai bagi beberapa pertandingan.
Program-program ini boleh menjadi satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
4. Penggunaan Aset Kerajaan dan Pengaruh Tidak Wajar Kerajaan
Walaupun Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang jelas berkenaan penggunaan aset kerajaan dan ianya masih tidak dijadikan kesalahan pilihan raya, namun amalan baik pilihan raya bersih dan adil seperti yang digariskan oleh Artikel 3 dan 4 Inter-Parliamentary Union (IPU) serta Artikel 11 Deklarasi Bangkok menyatakan pemisahan antara kerajaan dan parti politik serta penggunaan sumber dan jentera kerajaan semasa proses berkempen.
Sebelum ini BERSIH telah menempelak Ismail Sabri yang mengumumkan penghapusan hutang FELCRA walaupun beliau hanya Perdana Menteri Sementara.
Pada hari ini, 8 November 2022, calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin telah menghadiri Majlis Penyerahan Peranti Komuniti di Pusat Ekonomi Digitial (PEDi) Taman Saujana Utama, Sungai Buloh bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Sementara, Tan Sri Annuar Musa. Kehadiran beliau boleh dianggap sebagai menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.
BERSIH sekali lagi menekankan agar calon-calon dan parti-parti politik berkempen secara bersih dan adil, serta berdasarkan idea serta polisi yang mereka ingin tawarkan kepada rakyat untuk masa hadapan yang lebih baik.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH